Pages

Jumaat, 17 Februari 2012

IMAN

APABILA iman lemah, maka mudah sekali melakukan dosa dan maksiat. Apabila maksiat meningkat, bantuan Allah untuk dipelihara daripada syaitan berkurang dan tiada.

Rasulullah sendiri sering berdoa: “Wahai Allah yang boleh membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas jalan agama-Mu”. Baginda juga memohon Allah memelihara hala tuju perasaannya supaya tidak menyimpang dari hala tuju yang ditentukan Allah menuju kepada yang tertinggi.


Doa baginda: “Wahai Allah yang menguruskan hati, uruskanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu”. Rasulullah juga berdoa pada siang dan malam di dalam zikirnya: “Wahai Allah, sesungguhnya saya berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran”.


Adakah kita mengetahui bahawa Umar al-Khattab yang memisahkan imannya antara yang hak dan batil, syaitan cabut lari daripada menghampirinya dan terdapat garisan hitam di wajahnya lantaran banyak menangis kerana takutkan Allah?

Adakah kita mengetahui bahawa beliau pernah mengecam dirinya kerana kekurangan iman? Maka terdedah kepada dosa yang lebih besar.

Kali ini penulis ingin mengingatkan tentang tanda-tanda berkurangnya iman supaya kita lebih bersungguh menjaga iman sebagaimana nabi dan sahabat antaranya ialah:

  1. Terus menerus melakukan dosa dan tidak berasa bersalah.
  2. Berhati keras dan tidak berminat untuk membaca al-Quran.
  3. Lambat melakukan kebaikan, seperti terlambat untuk melakukan solat.
  4. Meninggalkan sunnah, sunat dan wajib
  5. Memiliki suasana hati yang gelisah seperti bosan dalam kebaikan.
  6. Tidak berasakan apapun ketika mendengarkan ayat al-Quran dibacakan seperti ketika Allah mengingatkan tentang hukuman dan janji-Nya tentang khabar baik dan akibat berbuat jahat.
  7. Berat dalam mengingat Allah.
  8. Tidak berasa risau ketika keadaan berjalan bertentangan dengan syari’ah.
  9. Terlalu bersemangat dengan kedudukan dan bimbang kehilangan jawatan.
  10. Kedekut dan bakhil, tidak mahu membahagikan rezeki yang dikurniakan Allah.
  11. Memerintahkan orang lain untuk berbuat kebaikan sementara dirinya sendiri tidak melakukannya.
  12. Berasa senang di atas kegagalan orang lain
  13. Hanya memperhatikan yang halal dan haram, dan tidak menghindari yang makruh.
  14. Mempermainkan orang yang berbuat kebaikan kecil.
  15. Tidak mahu memperhatikan keadaan dan musibah yang ditanggung kaum muslimin.
  16. Tidak berasa bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu demi kemajuan Islam.
  17. Tidak mampu menerima musibah yang menimpanya malah menyalahkan takdir, hanya boleh terima takdir baik sahaja.
  18. Suka membantah, hanya untuk berbantah-bantahan, tanpa memiliki bukti.
  19. Hanya bersemangat untuk pekerjaan duniawi sebaliknya tidak bersemangat perkara ukhrawi.
  20. Berasa bangga dengan kebaikan sendiri, sombong dan bongkak dengan kedudukan, malah banyak lagi.

Beberapa cara untuk meningkatkan keimanan kita:

  1. Tilawah Al-Quran dan mentadabburi maknanya, hening dan dengan suara yang lembut tidak tinggi, maka insya-Allah hati kita akan lembut. Yakinkan bahawa Allah sedang berbicara dengan kita.
  2. Menyedari keagungan Allah. Segala sesuatu berada dalam kekuasaannya. Banyak hal di sekitar kita yang kita lihat yang menunjukkan keagungan-Nya kepada kita.
  3. Segala sesuatu terjadi sesuai dengan kehendak-Nya. Allah maha menjaga dan memperhatikan segala sesuatu, bahkan seekor semut hitam yang bersembunyi di balik batu hitam dalam kepekatan malam sekalipun.
  4. Berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan setidaknya hal-hal dasar yang dilakukan dalam kehidupan seharian seperti cara solat dan berwuduk dengan betul, mengetahui erti daripada nama dan sifat-Nya. Orang yang bertakwa adalah mereka yang berilmu.
  5. Menghadiri majlis zikir yang mengingat Allah. Malaikat mengelilingi majlis seperti itu.
  6. Selalu menambah perbuatan baik lainnya. Allah akan memudahkan jalan bagi seseorang yang bersedekah dan memudahkan jalan bagi orang yang berbuat kebaikan. Amal kebaikan harus dilakukan secara berterusan.
  7. Berasa takut kepada akhir hayat yang buruk. Mengingat kematian akan mengingatkan kita daripada terlena terhadap kesenangan dunia.
  8. Mengingat tahap kehidupan akhirat, peringkat ketika kita diletakkan dalam kubur ketika kita diadili ketika kita dihadapkan pada dua kemungkinan, akan berakhir di syurga atau neraka.
  9. Berdoa, menyedari bahawa kita memerlukan Allah. Berasa kecil di hadapan Allah.
  10. Cinta kita kepada Allah harus kita tunjukkan dalam tindakan. Kita penuh berharap semoga Allah berkenan menerima solat kita dan senantiasa berasa takut akan melakukan kesalahan.
  11. Malam hari sebelum tidur sepatutnya kita bermuhasabah memperhitungkan perbuatan kita sepanjang hari itu.
  12. Menyedari akibat daripada berbuat dosa dan pelanggaran. Iman seseorang akan bertambah dengan melakukan kebaikan dan menurun dengan melakukan perbuatan buruk.
  13. Semua yang terjadi adalah kerana Allah menghendaki hal itu terjadi. Ketika musibah menimpa kita, itupun daripada Allah.

Kedudukan Doa Minta Rezeki (Solat Dhuha)

“Ya Allah, Sekiranya Rezeki Kami Berada Di Langit, Maka Turunkanlah Ia. Jika Ia Ada Di Bumi, Keluarkanlah Ia. Dan Jika Ia Berada Di Dalam Lautan, Munculkanlah. Sekiranya Rezeki Kami Di Tempat Yang Jauh, Dekatkanlah Ia. Jika Ia Sedikit, Banyakkanlah Ia. Dan Jika Caranya Sukar Untuk Sampai Kepada Kami, Mudahkanlah Ia. Serta Pindahkanlah Rezeki Tersebut Kepada Kami Dengan Kemuliaan.”

Jawapan:

Doa ini tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadis Nabi SAW, tidak juga diriwayatkan dari perkataan salah seorang sahabat baginda RA mahupun dari para tabi’ien. Cuma ia merupakan satu doa yang dibaca oleh seorang wanita Arab Badwi di ‘Arafah. Hal ini berdasarkan riwayat daripada al-Dainoori di dalam al-Majalisah wa Jauhar al-‘Ilmi dengan sanadnya (Hal: 727) dari al-Asma’ie yang berkata:

سمعت أعرابية بعرفات وهي تقول : اللهم إن كان رزقي في السماء فأنزله ، وإن كان في الأرض فأخرجه ، وإن كان نائيا فقربه ، وإن كان قريباً فيسره

Maksudnya: “Saya telah mendengar seorang wanita badwi ketika berada di Arafah berdoa: Ya Allah sekiranya rezeki saya berada di langit, maka turunkanlah ia, jika ia berada di bumi, maka keluarkanlah ia, jika ia berada di tempat yang jauh, dekatkanlah ia, jika ia dekat, permudahkanlah ia.”

Inilah yang dinukilkan oleh al-Hafidz di dalam al-Bayan wa al-Tabyin (517), demikian juga al-Zamakhsariy di dalam Rabi’ al-Abrar (178) dan selain mereka berdua. Doa ini secara keseluruhan merupakan permohonan memperolehi rezeki dan dipermudahkan, ia termasuk dalam perkara yang tidak ada masalah.

Sekalipun begitu, di dalam doa ini terdapat unsur takalluf (memberat-beratkan) dan al-Tasyqiq (mereka-reka ibarat ayat) dalam permintaan. Perkara ini menyalahi petunjuk yang paling sempurna dari Nabi SAW dan para sahabat baginda di dalam berdoa. ‘Aisyah RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنْ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ


Mafhumnya: “Adalah Rasulullah SAW menyukai doa yang al-Jawami’ dan baginda meninggalkan doa yang lainnya.” (HR Ahmad 27649, dan Abu Daud 1482. Hadis ini dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

Yang dimaksudkan dengan doa yang al-Jawami’ iaitulah doa yang menghimpunkan kebaikan di dunia dan di akhirat, ia merupakan doa yang lafaznya pendek tetapi memiliki makna yang luas, seperti doa di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة وَفِي الْآخِرَة حَسَنَة وَقِنَا عَذَاب النَّار

Mafhumnya: “Wahai tuhan kami kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhilah kami dari azab api neraka.” Demikian juga doa lain yang memohon keselamatan di dunia dan di akhirat.

‘Ali al-Qari berkata:

وَهِيَ الَّتِي تَجْمَعُ الْأَغْرَاض الصَّالِحَة ، أَوْ تَجْمَعُ الثَّنَاء عَلَى اللَّه تَعَالَى وَآدَاب الْمَسْأَلَة


Maksudnya: “(Doa yang al-Jawami’) iaitulah doa yang menghimpunkan permintaan-permintaan (hajat-hajat) yang baik atau yang menghimpunkan pemujaan kepada Allah dan adab-adab dalam permohonan.” (‘Aun al-Ma’bud 4/249)

Daripada Anak Sa’ad bin Abi Waqqas katanya:

سَمِعَنِي أَبِي وَأَنَا أَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَنَعِيمَهَا وَبَهْجَتَهَا وَكَذَا وَكَذَا ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ النَّارِ وَسَلَاسِلِهَا وَأَغْلَالِهَا وَكَذَا وَكَذَا ، فَقَالَ : يَا بُنَيَّ ، إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : ( سَيَكُونُ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الدُّعَاءِ ) ؛ فَإِيَّاكَ أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ ؛ إِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَ الْجَنَّةَ أُعْطِيتَهَا وَمَا فِيهَا مِنْ الْخَيْرِ ، وَإِنْ أُعِذْتَ مِنْ النَّارِ أُعِذْتَ مِنْهَا وَمَا فِيهَا مِنْ الشَّرِّ !!

Mafhumnya: “Bapaku mendengar doa daripadaku: Ya Allah aku memohon kepadaMu syurga, nikmat-nikmat dan kegembiraannya sedemikian dan demikian, aku juga memohon perlindungan dengan Engkau dari neraka, rantai-rantai dan belenggu-belenggunya sedemikian dan demikian. Mendengar doa aku ini, Sa’ad berkata: Wahai anakku, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Akan ada satu kumpulan yang melampau-lampau di dalam berdoa.” Oleh kerana itu, jaga-jagalah kamu (jauhilah) dari termasuk dalam kalangan mereka. sesungguhnya, sekiranya engkau dikurniakan syurga, engkau juga telah dikurniakan semua kebaikan yang ada di dalamnya, dan sekiranya engkau dijauhkan dari neraka, maka engkau juga telah dijauhkan dari apa-apa keburukan yang ada di dalamnya.” (HR Ahmad 1486 dan Abu Daud 1480. Dinilai Sahih oleh al-Albani)

Contoh doa baginda Nabi SAW pula yang dimulai dengan memuji, memuja Allah dituriti dengan permintaan, seperti:

اللَّهُمَّ أَنْتَ الْأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الْآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنْ الْفَقْرِ

Mafhumnya: “Ya Allah Engkaulah yang terawal dan tiada sesuatupun sebelum daripadaMu, Engkaulah yang Akhir, tiada sesuatupun selepasMu, Engkaulah yang Zahir (yang maha tinggi dan teratas), tiada sesuatupun yang lebih tinggi dan atas daripadaMu, Engkaulah yang Batin (yang Maha hampir), tiada sesuatupun yang lebih hampir daripadaMu. (Ya Allah) selesaikanlah hutang kami dan selamatkan kami dari kefakiran.” (HR Muslim 2713)

Daripada ‘Ali RA pula:

أَنَّ مُكَاتَبًا جَاءَهُ فَقَالَ : إِنِّي قَدْ عَجَزْتُ عَنْ كِتَابَتِي فَأَعِنِّي ؟! قَالَ : أَلَا أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ عَلَّمَنِيهِنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، لَوْ كَانَ عَلَيْكَ مِثْلُ جَبَلِ صِيرٍ دَيْنًا أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْكَ ؟! ، قَالَ : قُلْ : ( اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ


Mafhumnya: “Bahawa seorang hamba Mukatib (Hamba yang diletakkan syarat oleh tuannya untuk bebas dengan sesuatu bayaran) datang kepadanya dan berkata: Sesungguhnya aku telah tidak mampu untuk memenuhi bayaran yang ditetapkan oleh tuanku (الكتابة), bantulah aku! Jawab ‘Ali RA: Mahukah kamu aku mengajarkan kepadamu beberapa kalimat yang diajar kepadaku oleh Rasulullah SAW? Sekalipun kamu memiliki hutang seumpama bukit yang besar, Allah akan melangsaikannya darimu. ‘Ali berkata: Bacalah: Ya Allah cukupkanlah daku dengan perkara-perkara halal dari yang haram, dan kayakan daku dengan kelebihanMu berbanding dari selainMu.” (HR al-Tirmizi 3563. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi. Sila lihat Tashih al-Doa oleh al-Syeikh Bakr Abu Zaid, Hal: 61-63)
Jelas dari contoh doa-doa Nabi SAW ini tiada ciri-ciri melampau atau memberat-beratkan dan mereka-reka ibarat yang tidak perlu di dalam berdoa. Oleh yang demikian kita mencadangkan kepada semua orang untuk memilih doa-doa Nabi SAW dan petunjuk dari baginda dalam berdoa dengan menjauhi doa yang melampau-lampau dan ibarat bahasa yang tidak ada keperluan.

Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan doa yang ditanya di dalam soalan ada dicadangkan oleh sebahagian ulama RH terutama dari fuqaha yang terkemudian dari mazhab al-Syafie. sebahagian mereka mengkhususkan doa ini untuk dibaca selepas solat Dhuha. Namun perbuatan mengkhususkan sesuatu doa untuk dibaca di tempat tertentu memerlukan dalil dan petunjuk dari Nabi SAW. Malangnya pengkhususan itu tidak ada, tambahan pula doa ini memiliki ragkapan ayat-ayat yang melampaui dari adab berdoa yang diajar oleh Baginda SAW.

Wallahu a’lam.

:: Candle OF Life ::

:: About Life ::

RENUNGKAN....