Pages

Selasa, 23 Ogos 2011

Bingkisan buat Mu Tuhan


TUHAN…. Setiap kali KAU memanggil aku, aku cuba dan berusaha untuk datang kepada MU sesegera mungkin. Kadang-kala aku datang kepada MU dengan hati yang tidak takut adan malu. Tapi biasanya hanya fizikal yang ku bawa menyembah MU. Sedang hati masih sombong dengan MU.
Sesekali aku bersimpuh di bawah duli Kebesaran MU dengan begitu berhati-hati dan menjaga adab-adab memasuki “Istana MU”. TUHAN…. Fizikal ku rukuk dan hati ku pun ikut rukuk; fizikal ku sujud dan hati ku pun iku sujud. Tapi itu Cuma sekali sekala. Biasanya aku hanya bersenam semata-mata di depan kebesaran MU.
Katanya upacara menyembah MU adalah saat paling indah; pertemuan yang paling bermakna antara hamba dengan PENCIPTANYA. Majlis yang gemilang bermandikan cahaya dari SYURGA. Suatu nikmat menyembah MU yang sungguh lazat tidak terhingga, hingga aku mabuk dalam persada percintaan dengan MU.
Aduh, indah sekali khabarnya pengalaman itu mengatasi segala dan sejuta nikmat yang indah pernah wujud di dunia ini. Begitu sekali rupanya KAU melayani hamba MU yang hina ini.
Tapi TUHAN.. siapalah aku untuk mengecapi pengalaman yang indah itu… ia hanya layak untuk Para Siddiqin dan Muqarrobin. Yang hatinya dan cintanya hanyalah satu. Untuk MU semata-mata. Sedangkan aku hanyalah hamba yang dilumuri noda dan dosa. Hanya membilang waktu. Andai tidak dapat pengampunan MU, neraka manalah yang bakal menanti kedatangan ku.
Masakan tidak wahai TUHAN.. Penyembahan ku terhadap MU begitu lalai. Pantang larang Istana MU sering ku langgar, ucapan-ucapan ku sewaktu sujud menyembah MU masih biadap dan penuh kesombongan. Diwaktu hamba Mu yang lain bersiap sedia menunggu waktusebelum KAU memanggil, manakala aku hamba yang culas dan lalai. Menunggu KAU memanggil dan kadang-kala sampai membiarkan KAU menunggu beberapa ketika sebelum hadir mengadap Mu dalam tergesa-gesa. Sedangkan KAU tidak pernah jemu memanggil dan menjemput ku yang berdisa ini menghadap Mu lima kali sehari malam dan siang.
Cinta ku rupanya hanyalah palsu, rindu ku hanya kaku. Aku rupanya tidak kenal erti cinta, erti rindu yang sebenar kerana butanya hati menyebabkan ENGKAU belum ku kenali sepenuhnya. Bila tidak kenal manakan datang cinta, mana mungkin timbulnya rindu, itulah aku.. sering terlewat sampai ke persada Keagungan Mu.
Bila ku ingat kata-kata Saidina Umar “ jika seluruh penduduk Kota Madinah ini masuk SYURGA kecuali seorang, maka aku rasa yang seorang itulah aku.” Aduh, takut sekali hati ku. Kalaulah dia seorang Khalifah yang dijanjikan Syurga pun, merasa tidak layak untuk kesana apa lagi aku yang bergelumang denga dosa dan noda ini…
Wahai TUHAN yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, walau pun aku sedar siapa diri ku, tapi aku ingin berbaik sangka dengan MU. Bukankah ENGKAU Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang? Kasih Sayang MU mengatasi segala Keagungan MU yang lain. Keampunan MU mengatasi kesalah Insan. Kasih sayang MU mengatasi kemurkaan MU.
Biarpun aku sesungguhnya tidak mampu dan tidak layak, namun aku merayu kepada MU, terimalah aku dalam Keredhaan MU dengan bersandarkan dan bertawasul kepada para kekasih MU, terutamanya kekasih Agung MU Rasulullah (s.a .w)juga dengan kemuliaan ibi bapa ku, terimalah aku dengan keberkatan mereka. Pandanglah aku yang cuai dan lalai ini demi mereka, demi dia yang aku kasihi dan KAU muliakan.
Wahai TUHAN pemilik alam, mudah-mudahan masih belum terlewat lagi untuk aku mengintai cinta MU, melambai Rahmat MU dan merisik khabar rindu dengan MU. Semoga cinta dan rindu ku berbalas.
Wahai Yang Mencipta hati dan roh, kaulah yang membolak balikkan hati; peganglah hati ku agar tetap dengan MU, agar seluruh yang ada ku korbankan untuk MU, agar aku tidak bermain cinta selain dengan MU; agar sumpah ikrar untuk hidup dan mati ku kerana MU, dapat ku tunaikan tanpa gagal. Agar aku hanya cinta dan takut hanya pada Mu tanpa jemu dan lalai. Agar aku jadi pujangga cinta yang hanya mahu memuja dan memuji MU bukan selain dari MU.
Benamkanlah di lubuk hati ku wahai TUHAN, rasa-rasa ini. Agar aku puas menjadi hamba yang kau redhai… redha Mu rupanya kerinduan pada Syurga MU dan ketakutan pada Neraka MU.
Biarlah aku melayari bahtera kehidupan ini dalam redha MU, agar rasa-rasa inilah yang akan dan menjadi benteng untuk ku mentaati MU. Mudah-mudahan ku masih belum terlewat lagi untuk MU….


0 comments:

Catat Ulasan

:: Candle OF Life ::

:: About Life ::

RENUNGKAN....